ShoutBox

Tuesday, July 24, 2012

Serangkap Visi

Serangkap Visi Pengarah Pelajaran Pahang



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih dan syabas kepada Unit Sukan melalui Majlis Sukan Sekolah Pahang kerana terus berusaha untuk memajukan bidang sukan khususnya di sekolah-sekolah seluruh Negeri Pahang Darul Makmur.

Bagi pihak Jabatan Pelajaran Pahang, bidang sukan dilihat sebagai senjata paling ampuh untuk melahirkan modal insan yang cergas, cerdas dan berdaya saing.  Melalui aktiviti sukan juga, matlamat untuk mempupuk perpaduan dan melahirkan masyarakat yang mengamalkan budaya hidup sihat dapat direalisasikan.  Berdasarkan kekuatan inilah maka pihak kementerian telah menjayakan Dasar 1Murid 1Sukan.

Melalui dasar ini juga, penglibatan murid-murid secara aktif dalam bidang sukan turut menjadi matlamat utama.  Penyertaan murid-murid dalam pertandingan-pertandingan di peringkat sekolah akan merintis jalan kepada penyertaan mereka dalam pertandingan-pertandingan di peringkat yang lebih tinggi.  Untuk itu, MSSP perlu menjadi platform yang relevan untuk menjana dan mengetengahkan bakat-bakat sukan di peringkat akar umbi sebagai kesinambungan kecemerlangan sukan negara.

Berdasarkan aspirasi di atas, pihak jabatan khususnya Unit Sukan perlu sentiasa cakna dalam mengharungi badai perdana pembangunan sukan negara.  Perancangan strategik jangka panjang yang bermatlamat untuk meningkatkan kualiti atlit-atlit dalam kalangan pelajar melalui program-program terancang perlu digarap segera.  Pada masa yang sama,  perancangan untuk memastikan penyertaan menyeluruh murid secara aktif dalam aktiviti bersukan juga perlu turut disediakan bagi memenuhi matlamat Dasar 1Murid 1Sukan.

Akhir kata, semoga Buku Perancangan yang disediakan ini akan menjadi garis panduan terbaik kepada semua pihak untuk merancang dan mengurus aktiviti sukan sepanjang tahun 2012 ini.

Sekian, terima kasih.





YAHYA BIN ZAINAL ABIDIN
Pengarah Pelajaran Pahang



No comments :

Post a Comment